12 October 2012

Putrajaya

Singgah di Taman Wetland, Putrajaya.. rupa-rupanya ramai yang memancing di sini.. ambil kesempatan menembak horizon tatkala mentari mula mengundurkan diri..


Malam.. selepas makan di Laman Perdana, bawa anak-anak bermain roller skate berhampiran masjid Sultan Zainal Abidin.. menembak lorong ini..



04 October 2012

Perjalanan..

Sering bertanya pada diri.. bila lagi pengembaraan seterusnya..  tapi hati ini ingin ke satu tempat yang sangat dirindu.. menatapnya sering mataku berkaca.. Moga diriku dalam perancanganNya untuk diletakkan di sana..
 
 
 jauh perjalanan luas pemandangan banyak pengalaman matang pemikiran penuh kesyukuran



07 August 2012

Menjelang Ramadhan

Menjelang Ramadhan seperti biasa kami pulang ke kampung menjengah ayah bonda.. Di usia senja mereka, takut terkilan menangguh-nangguh masa untuk menjengah mereka (masih terbuku di dada kerana ayah kandung pergi aku tidak sempat bersama kerana menangguh pulang ke kampung).. Kini jika ada masa, aku tidak mahu mengulangi kesilapan.. masih ada ibu serta ibu dan ayah mertua..

Tidak lupa juga aku menjengah lagit pagi.. menanti sinar mentari..

 mereka pengunjung setia laut.. di sini rezeki untuk dicari

 dua sahabat yang sedang berehat..

dan mentari mula bersinar memberi harapan baru..

Semuanya berlaku di lokasi yang sama yang aku kunjungi tanpa jemu.. tapi latar alam tetap berbeza warnanya..

11 June 2012

Cahaya Pagi

f10, 1/30s, 43mm, ISO:100 (Canon 60D)

Mengejar cahaya pagi di jeti Kampung Bakar Arang memang berbaloi.. kelihatan seorang nelayan sedang mengayuh sampan mencari rezeki. Haluan menuju ke arah cahaya bagaikan simbolik pada pengharapan seorang nelayan agar hasilnya lumayan..

19 April 2012

Jemu

 Berinteraksi dengan manusia sangat memeningkan.. Kalau harimau kita tahu sikap kejamnya dan harus dihindari. Kalau kucing kita tahu sikap manjanya suka dibelai, tapi  kalau nak berak pula ikut suka hati. Kalau khinzir kita tahu pengotor malahan najis yang jangan dihampiri. Jika anjing yang tersepit, fikir dahulu sebelum menolong. Manusia juga kadang-kadang ada watak binatang dalam diri, bahayanya adalah kita tidak tahu binatang apa yang kita sedang hadapi.

Paling mengasyikkan bila berinteraksi dengan alam. Memberi ketenangan dan kedamaian. Sering menjamu kita dengan keindahan walau jarang kita memberi yang terbaik untuk mereka. Hmm.. lama tidak turun menggalas kamera menanti cahaya pagi atau petang. Hobi yang memberi ketenangan selain memancing. Di saat-saat tekanan datang dari kiri dan kanan, memburu dan menembak alam dengan lensa adalah satu escapism.. atau setidak-tidaknya 'meroseh' kembali folder lama mengimbau kenangan di sepanjang perjalanan hidup..

Alam Tidak Pernah Membosankan.
 remang senja di Kaikoura yang mengasyikkan..

Antara elemen alam yang menarik perhatian aku adalah air.. Apabila melihat air yang mengalir terasa elemen sejuk dalam air tersebut turut membasahi jiwa..  

 
air terjun di Milford Sound - halus dan menyegarkan

  
Biru di Milford Sound
 
 
Tebing batu di Makara, mengadap Lautan Pasifik
 



05 March 2012

Warna

Imej yang menarik perlulah ada warna primer dan sekunder. Warna yang seimbang akan kelihatan kurang menarik. Itu menurut petua-petua dan hukum untuk merakam gambar yang menarik. Tetapi sebagaimana hukum tigaan (rules of third) yang boleh dilanggar bagi mendapatkan gambar mengikut kesesuaian masa dan ketika, begitulah juga dengan peraturan tentang warna tadi. Gambar-gambar di bawah adalah warna-warna yang tidak ada pembahagian warna primer atau sekunder.. atau pendek kata berwarna warni. Terpulanglah pada mata yang melihat untuk menilai cantik atau tidak. Pada aku warna memberi keceriaan dan ada kalanya kita perlu pada suasana yang penuh warna.


 
bunga di botanical garden di Christcurch


 

02 March 2012

Cahaya Malam

Malam dikaitkan dengan kegelapan... Di abad ini tanpa bekalan elektrik manusia akan jadi tidak keruan. Contohnya apabila berlaku kebakaran kecil di pencawang TNB dekat Bandar baru Bangi malam tadi. beberapa kawasan terjejas seketika termasuk kawasan perumahan aku.

Dalam resah, anak-anak teruja juga sebab itu pengalaman pertama mereka. Resah gelisah masyarakat dapat dilihat apabila berpusu-pusu keluar dari rumah mencari cahaya.. atau menikmati penyaman udara kereta.

Di sebalik kegelapan, cahaya telah menjadikan malam itu indah.. beberapa ketika aku menjadi penghambat cahaya malam. Merakam cahaya dari objek binaan dan bangunan ke dalam kamera dengan dedahan perlahan.
PUTRAJAYA WAKTU MALAM

 Boullevard Putrajaya dirakam dari PICC..
 Jambatan Seri Wawasan
 ... warnanya bertukar mengikut cahaya lampu.. mengasyikkan walupun tiada apa-apa.

Masjid Putra,  Putrajaya

Kegilaan mengejar cahaya malam diganjari apabila percubaan pertama kali menghantar salah satu gambar di atas telah berjaya memikat hati editor untuk dimuatkan dalam column Photo Tutor majalah Digital Camera Magazine.. terasa bangga sendiri apabila melihat foto yang dirakam dan dilihat dalam mock up advertisement untuk kamera Canon 60D (yang kalau ada duit lebih, aku nak beli.. hehe)

Dan inilah hadiah yang aku terima.. beg camera Crumpler 6 Million Dollar Home yang harganya sekitar RM200++ juga.. 
 Tapi untuk pergi ke depan  kena dengar nasihat otai sahabat Mohd Silmi Sulaiman.. nak ambil gambar tak boleh malas.. maksudnya kalau dah nampak sesuatu yang menarik untuk dirakam kenalah berusaha untuk cari angle yang menarik juga.. kena cuba dengan beberapa set menu.. kalau sekadar duduk tepi tingkap malas nak turun "lebih baik jual kamera.." katanya.

26 January 2012

Sirna Pagi Di Pantai Merdeka

Setiap hari langit  akan menghidangkan kita corak dan warna yang berbeza, walaupun lokasinya sama.. Jika datang hari ini, besok pasti akan disajikan sirna yang lain dan bentuk awan serta pasang surut air yang tak sama.. sebab itu setiap kali pulang ke kampung Bakar Arang, Pantai Merdeka aku akan berpagi-pagi di pengkalan nelayan..

 Bot-bot nelayan sedang berehat.. turun ke laut bergantung kepada kalendar pasang surut yang aku pun tidak begitu pasti jadualnya..

 Mentari belum muncul, hanya menyebarkan warnanya yang jingga kekuningan.. malah kemerah-merahan sebelum itu.. tetapi sirna cahaya ini begitu cepat berubah, sedang asyik aku merenung, perlahan-lahan warnanya bertukar.. aku masih belum bersedia dengan gadget.. cahaya yang suram sebegini  perlukan katup lensa yang perlahan, maka tripod perlu memainkan peranan..

 Lambat ertinya tak dapat.. awan, gunung jerai, bot nelayan yang berehat dan cahaya pagi ini bersatu menjadi panorama cantik dan menawan.. katup lensa perlahan kadang-kadang mencuri warna alam, nasib baik ada nd filter dapat membantu mengawal warna asal..
 Bot usang yang terbiar.. satu ketika dahulu pasti ia gah membantu tuannya menuai hasil laut.. kini tinggal menjadi lambang pengorbanan.. Agak terkilan  tidak dapat merakam rangka bot dengan jelas.. flash bina dalam tidak cukup kuat.. sepatutnya aku bawa bersama speedlite Minolta Axxum 4000F klasik yang aku beli melalui Mudah.com.  Namun saiznya menyebabkan aku sering meninggalkannya..
   
 Bila siang semakin ketara, aku tidak mahu melepaskan peluang merakam susunan bot yang berwarna-warni dan menceriakan.. seceria pagi indah ini.. Cahaya mentari kekuningan membantu memberi warna lebih menarik dan jelas..

Terima kasih mentari. Syukur pada Mu Allah, kerana memberi pagi ini pada hambaMu untuk direnung, dirakam dan difikir. Rabbana ma khalaqtaha za bathila.. Subha nakafaqina 'aza bannar.

20 January 2012

Sunset @ Klebang

Melihat mentari terbenam adalah satu pemandangan yang amat indah dan kadangkala menakjubkan.. kita tidak pernah tahu apa yang akan dihidangkan pada kita ketika mentari perlahan-lahan membenamkan diri di ufuk barat..


Ketika lensa terus mengarah kepada mentari yang sedang terbenam, tiba-tiba saya dihadiahkan dengan dua lingkaran menerusi lensa kamera.. sebenarnya lingkaran ini tidaklah terlihat dengan mata kasar.. sebagaimana flare yang kadang kala terhasil apabila lensa di arah ke matahari, maka hari ini saya bertuah kerana mendapat reaksi yang berbeza dari mentari.. tidak sia-sia menanti dan menyaksi..


... dan ketika ia mula menghampiri garisan horizon yang menjadi sempadan antara siang dan malam, mentari tidak mahu berlengah lagi.. jika saat-saat ini kita lepaskan, kita  akan terus terlepas dan hanya menyaksikan tirai malam berlabuh..








 dan akhirnya sempurnalah tenggelamnya matahari mengakhiri tahun 2011.. kerana gambar ini saya rakam pada 31.12.2011..

10 January 2012

I-City

Hutan malam dengan pokok-pokok yang tidak menyumbangkan sebarang oksigen pada bumi..


antara aktiviti manusia di bawah pokok cahaya.. penjual menjual mainan berasaskan lampu..
dan sudah tentu mengambil gambar..
Memang seronok menikmati lampu di I-City.. dan sebenarnya banyak lagi excitement yang disediakan.. tapi setiap aktiviti kena bayar.. kalau nak percuma tengok sajalah poko-pokok bercahaya ini.. tapi masih perlu bayar tempat letak kereta RM10.00.


06 January 2012

Deerland

Mengunjungi Deerland di Kuala Gandah, Pahang agak teruja dengan laluan kereta yang kecil masuk ke dalam kawasan hutan. Tumpuan utama di sini adalah rusa walaupun ada lagi beberapa spesis binatang yang dipelihara. Suasana nyaman hutan mengimbas pengalaman berharga ketika mengikut kawan-kawan memburu di hutan Sabah suatu ketika dulu. Juga mengundang sedikit kenangan ketika melawat kawasan peliharaan binatang di Stagland, Upper Hutt dan Liliput Farm, Rotorua di NZ. 
Dengan mengabaikan kawasan pagar sekitar tempat pemeliharaan rusa ini aku cuba menggambarkan mereka bebas dan liar di  habitat..

kawasan peliharaan rusa yang dilihat agak semulajadi..

 rusa-rusa ini tidak tertarik dengan kehadiran kami untuk dapatkan makanan percuma. Mungkin mereka sudah kenyang dengan pengunjung sebelumya.


 rusa yang bergerak berkumpulan

 dan ada juga yang lebih senang bergerak sendiri...

Melihat mereka jauh dari kumpulan yang meminta makanan dari pengunjung, terasa seperti berada di habitat mereka.. liar dan bebas.. sekurang-kurangnya mereka tidak takut kepada pemangsa..