12 December 2011

Gerhana Bulan..

Gerhana bulan adalah satu fenomena alam yang membuktikan kebesaran Allah S.W.T. Tahun ini berlaku dua kali gerhana bulan iaitu pada bulan Jun 2011 (sekitar jam 3 pagi) dan terkini pada 10 Disember 2011/15 Muharram 1433 (sekitar jam 8 malam). Gerhana ini boleh dilihat oleh semua negara yang mengalami malam pada masa yang sama. Gerhana berikutnya dijangka berlaku pada tahun 2014.

Bagi diriku, inilah kali pertama menunaikan solat sunat gerhana. Syukur kerana surau setempat menganjurkan solat sunat gerhana dan syukur juga aku diberi kekuatan pada kali ini. Agak berbeza kerana dalam 2 rakaat solat tersebut ada 4 kali ruku' dan 4 kali bacaan Al-Fatihah dan surah pilihan yang panjang.

 Gambar bulan diambil pada 8 Dis 2011 (malam 13 Muharram). Shutter speed :1/250s. ISO: 100. Focal Length:200mm. Itu saja maksimum jarak yg boleh dicapai oleh lensa Tamron 18-200mm. Crop pun tak boleh banyak sebab aku hanya guna kamera klasik Canon 400D, 10.2mp.

Gambar bulan gerhana diambil pada 10 Dis 2011 (malam 15 Muharram) sekitar jam 11.00 malam. Shutter speed :2.5s, f/6.3, ISO: 100. WB: tungsten. Focal Length:200mm. Terpaksa guna slow speed sebab kalau lebih tinggi langsung tak dapat gambar. Kalau terlalu perlahan  banyak glow pula.

Di bawah pula gambar gerhana dengan setting camera yang sedikit berbeza.

 Shutter speed :6.0s, f/6.3, ISO: 100, WB: cloudy. Focal Length:200mm.

 Shutter speed :5.0s. f/6.3, ISO: 200, WB: shade. Focal Length:200mm.

Kesimpulan 1 : kalau ada lens sehingga 300mm dan kamera melebihi 16mp mungkin gambar lebih jelas.
Kesimpulan 2 : berdasarkan kesimpulan 1, kena upgrade? Hehe.. yang itu kena tepuk poket, tanya bajet.

07 December 2011

Lukis Semula Mentari..

Di ufuk barat Bandar Baru Bangi, kelihatan mentari sedang mengundurkan diri dari menyinari alam setelah seharian melihat gelagat penghuni bumi..  Warna 'panas' oleh mentari seolah-olah benci pada kontraktor  kotor  dengan jentera-jentera pemusnah alam, dan politikus rakus yang enggan mewariskan hijau pada anak cucu mereka dan merampas hijau daripada anak cucu kita..

Lalu aku warnakan semula langit dengan warna 'sejuk', memujuk mentari bahawa kami masih sayangkan alam, tetapi kami tidak ada kuasa.. cuma ada rasa benci melihat jentera-jentera itu bergerak setamak pemiliknya..

Alam makin lama makin pudar dan layu.. pohonan menghijau diganti dengan konkrit kasar.. dan pepohon mati ini adalah simbolik  pengorbanan alam kepada pembangunan (?)..

05 December 2011

Gold Coast Morib Resort

Gold Coast Morib Resort.. Lokasi ini sesuai untuk bawa family bercuti kerana ada Water Theme Park, ala-ala Desa Water Park.. memang anak-anak akan enjoy habis bermain slide dan segalanya tentang air.

Paling penting bagiku di kesempatan ini adalah untuk merenung kaki langit Morib.. macam biasa, dua waktu yang aku cuba untuk tidak melepaskan peluang iaitu pagi dan lewat petang..

Pagi di GCMR
GCMR dari arah pantai (yang berselut)

Mentari terbit dari arah darat.. pagi ini langit memang kaya dengan awam-gemawan..

selut pasir halus yang mampat terbentuk mengikut pukulan ombak..

Laut jauh dari tebing.. banyak lorong-lorong air sebelum sampai ke laut lepas..

1/3s, reflection warna biru langit pada air lebih terang tetapi kehilangan warna pada langit itu sendiri.

1/125s, warna biru langit lebih terang (sedikit) daripada gambar di atas tetapi warna pada reflection kurang menyerlah.


Senja di GCMR
Agak terlewat mengejar mentari terbenam kerana asyik melayan anak-anak di Water Theme park.. Kehadiran gumpalan awan besar kelihatan amat menarik dilihat dari balkoni.. namun penghujungnya hilang di balik bangunan..

inilah penghujung awan terpilu tadi..


dan semakin lama semakin pudar warnanya..


 The Pier : Dikatakan antara lokasi penggambaran Bini-biniku Gangster..
 mentari telahpun terbenam dan meninggalkan sisa cahaya di sebalik gumpalan awan..

 tetap mencari reflection.. namun tidak berani mencuba slow shutter tanpa tripod dan nd filter..

30 November 2011

Pengembaraan Aotearoa : Welly - Picton - Kaikoura

2008 : Kesempatan berada di bumi kiwi New Zealand (NZ) atau dalam bahasa Maori dipanggil Aotearoa tidak mahu kami persiakan. Pulau selatan NZ dikatakan lebih cantik panoramanya berbanding pulau utara. Memandangkan kami tinggal di Wellington, pulau utara NZ, maka kami sentiasa memasang impian untuk mengembara ke pulau selatan.  Ada dua alternatif sama ada menggunakan jalan udara iaitu penerbangan terus dari Wellington ke Christchurch atau merentasi Cook Strait dengan feri Interislander dan seterusnya bergerak menggunakankan jalan darat. Kami memilih untuk ke pulau selatan dengan feri dan seterusnya mengembara bermula dari Picton, dan menjelajah turun ke bawah menyusuri timur pulau.

Google map: Wellington - Picton


Wellington harbour: suluhan mentari dari celah gumpalan awan
Kaitaki (feri Interislander) meninggalkan Island Bay memasuki  Cook Strait
Feri tiba di perairan pulau selatan menyusuri fiord sebelum sampai ke Picton. Biru airnya begitu cantik dan menyegarkan.. seperti yang disebut sebelum ini, melihat dan menikmati kenyamanan  dengan pancaindera tidak dapat digambarkan dengan kekakuan gambar yang dirakam.  Cuba mencari kata-kata untuk menggambarkan perasaan dan keindahan yang dirasa ketika itu. Rasa yang berbeza, dan hanya dirasai pada ketika itu.

Dari Picton kami menyewa Toyota Estima Aeras, luas dan selesa untuk kembara yang jauh ini. Menuju ke Kaikoura, melelapkan mata ketika perjalanan bukanlah suatu pilihan yang bijak.



Kami tidak berhenti di mana-mana kerana mengejar masa. Sepanjang perjalanan perkataan 'wow!" tak henti-henti terbit dari mulut. Hati terharu dan bagai mahu menangis menikmati bahagian lain dunia ciptaan Allah yang indah ini. Biru langitnya sangat kudus dipersembahkan. Air sungai yang mengalir jernih menghijau. Subhanallah. (Ini yang kami sepakat merasainya, walau bagaimanapun terpulang kepada mata masing-masing yang melewatinya. Mungkin bagi setengah orang ini tiada apa-apa.)



Banyak ladang buah-buahan. Setiap batuan memberi latar belakang yang berbeza.


Sekali sekala melewati pekan kecil dan perkampungan yang terasa mahu singgah, tetapi biarlah hanya mata kami yang menyapa.

Dengan keluasan tanah yang melebihi Malaysia dan bilangan penduduk yang hanya sekitar 4 juta, sebahagian besar tanah pamah adalah ladang buah-buahan dan ternakan.

23 November 2011

Vistana

Berbengkel di Vistana Hotel, Jalan Damai, Kuala Lumpur. Satu lagi harta kekayaan YTL . Bilik aku di tingkat 13. Pertama yang aku buat apabila masuk bilik adalah meninjau pemandangan apa yang disaji di luar tingkap. Tak menarik sangat, tapi boleh lah untuk melontarkan pandangan..


Inilah view yang aku dapat.. nampak bumbung istana budaya.. latar belakang bukit bukau yang hijau membiru.. dan awan gemawan yang sarat..


di hadapan tersergam sebuah kondominium.. Vistana Kondo.. kolam renang yag terdampar di tengah-tengah bagai memberi isyarat tenang di sebalik hutan batu..


sejuk.. pemandangan di luar bilik mesyuarat Sitiawan, ada kolam renang dan kelihatan bangunan umno di belakang.. kabus di lensa memberi kesan warna air pada cahaya dan kabus pada gambar yang aku rakam..  aku suka kerana ianya memberi reflek kepada cuaca ketika itu.. sejuk, baru lepas hujan..

subjek sama seperti di atas.. dengan  lensa  normal..

18 November 2011

Melihat dan Merakam..

Apa yang dirakam adalah apa yang dilihat oleh mata.. namun, kadang-kadang keindahan yang dilihat dengan mata sendiri tidak akan sama rasa dengan apa yang dirakamkan oleh lensa kamera.. Ternyata alat ciptaan manusia tidak dapat menandingi pancaindera ciptaan Ilahi..

Apa bezanya? Melihat pemandangan yang cantik, kita merenung dan menghayati.. ketika itu angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menampar pipi.. mungkin ada  kicau burung, deru ombak atau daun-daun bergeseran menjadi latar.. Subhanallah.. Semua itu menambah aroma menjadikan kita asyik.. tetapi setelah dipetik dan dirakam oleh lensa, kita hanya melihat yang kaku.. bagai hilang nyawanya..
Apa yang penting hendaklah kita bersyukur dan bertasbih apabila melihat keindahan dan keagungan ciptaan Allah..

 Dari atas Kaitaki, Feri dari Wellington (North Island) ke Picton (South Island), New Zealand. Sepanjang merentasi Selat Cook, pemandangannya  cantik dan mengasyikkan.. dan bayangkan ketika anda melontarkan pandangan dari dek feri, bayu sejuk nyaman akhir musim luruh menyapa wajah.. suatu rasa yang ingin dikecapi lagi..